BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 20 October 2011

Kepimpinan Adalah Tanggungjawab Bukan Satu Keistimewaan

Kita sering mendengar berita pertumpahan darah dan pergolakan politik di negara luar demi untuk memilih pemimpin yang sesuai. Menurut pemerhatian mimbar, antara faktor utama kekacauan politik ini adalah berpunca daripada perbalahan di kalangan pemimpin yang terus berdegil mempertahankan hak kepimpinan masing-masing.
Berdasarkan perang saudara dan pertumpahan darah yang berlaku dalam pencarian pemimpin ini, jelas menunjukkan proses pemilihan pemimpin adalah suatu kerja yang sukar walaupun kadangkala ia diputuskan secara demokrasi. Kesan buruk daripada kekacauan politik menyebabkan negara berkenaan mengalami kemusnahan harta benda, kerosakan infrastruktur dan permusuhan antara puak yang berpanjangan.
Usaha memulihkan semula kestabilan dan kemakmuran negara bukan perkara mudah kerana ia memerlukan peruntukan kewangan yang besar dan memakan masa yang panjang untuk pulih seperti keadaan aman sebelumnya. Apa yang lebih malang, dalam menyelesaikan pertikaian dalaman, mereka membuka pintu kepada kuasa asing untuk campurtangan, lalu hilanglah kedaulatan negara berkenaan.

Bagaimana pun kita amat beruntung kerana peralihan kuasa kepimpinan Islam yang menjadi paksi kekuatan umat di negara ini berlaku secara aman dan licin. Berdasarkan sejarah politik negara ini, ternyata peralihan kuasa secara aman ini bukanlah perkara baru tetapi sebenarnya telah menjadi budaya di negara ini. Banyak negara kagum dengan tradisi peralihan kuasa di Malaysia tanpa ada kekecohan besar walaupun rakyat terdiri berbilang kaum dan berlainan agama. Persoalan besar timbul ialah apakah faktor utama budaya peralihan kuasa di kalangan pemimpin Islam berlaku secara aman di negara ini?.
Adalah amat diyakini peralihan kuasa secara aman dianggap sebagai langkah bijak demi menjaga maslahah negara dan masa depan umat Islam. Hakikatnya budaya peralihan kuasa secara aman ini dianggap sebagai hadiah yang amat berharga daripada seorang pemimpin yang berjiwa besar kepada rakyat negara ini kerana kestabilan negara terus kukuh dan rakyat boleh meneruskan kegiatan ekonomi dan beribadah secara aman. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada mantan Perdana Menteri Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah banyak berjasa dan berkorban demi agama, bangsa dan negara. Agak sukar kita membalas jasanya, kecuali dengan iringan doa agar kehidupannya sentiasa diberkati Allah.
Sebenarnya kestabilan politik umat Islam di negara ini turut memberi manfaat kepada kaum-kaum lain di negara ini. Oleh itu, pihak bukan Islam di negara ini diingatkan supaya menghormati agama dan budaya umat Islam yang menjadi teras kestabilan politik di negara ini.
Menurut pengkaji sains politik, gaya kepimpinan yang dianggap paling berkesan adalah gaya kepimpinan transformasi iaitu gaya kepimpinan yang mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dalam kes ini, Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh seorang pemimpin gaya transformasi yang paling berjaya di dunia. Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.
Dengan demikian, sebahagian besar daripada tanggungjawab pemimpin itu adalah untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat. Terutama rakyat di luar bandar yang sebahagian besarnya terdiri daripada para petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang lain amat mengharapkan berita baik, berita gembira yang mampu mengubah nasib mereka. Jika kita menganggap jawatan kepimpinan sebagai satu keistimewaan, maka mimbar amat bimbang ia boleh menjejaskan tumpuan dalam memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Selari dengan peralihan kuasa secara aman ini, ingin ditarik perhatian umat Islam sekalian berhubung pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai kepimpinan yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Mafhumnya: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”
Berdasarkan hadith ini, Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat (khadim) kepada rakyat untuk mentadbir urusan umat. Persoalan besar timbul di sini ialah apakah hak-hak umat terhadap pemimpinnya?.
Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah s.a.w. sebagai khalifah menyeru umat Islam ketika itu yang maksudnya:
“ Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku”.
Ucapan penuh ikhlas Saidina Abu Bakar r.a ini memberi mesej jelas bahawa menasihati seseorang pemimpin adalah sebahagian daripada hak dan kewajipan setiap muslim dalam negara Islam. Malah setiap individu juga berkewajipan untuk meluruskan pergerakannya, menyuruhnya untuk mengerjakan kebajikan atau mencegahnya dari melakukan sebarang kemungkaran.
Rakyat berhak menegur pemimpin kerana seseorang pemimpin dalam Islam adalah manusia biasa. Dia bukan seorang yang terlalu agung atau istimewa sehingga tidak boleh ditegur. Walau bagaimanapun, Islam juga meletakkan asas etika yang perlu dipatuhi, iaitu dalam menegur pemimpin, wajib dilakukan secara beradab dan tidak secara terbuka yang boleh mengaibkannya.
Perlu diingatkan bahawa kekuatan pengaruh kepimpinan berkait rapat kepada sejauhmana nawaitu dan keikhlasan kepimpinan dalam menegakkan kedaulatan Islam di negara ini. Selari dengan perkembangan baik peralihan kuasa di negara ini, maka mimbar menyeru kepimpinan baru memperhebatkan program amar makruf, nahi munkar dan melaksanakan perubahan positif. Selain itu martabat dan kedudukan Islam sebagai agama negara perlu dipertahankan serta diperkasakan. Semoga dengan itu, insya Allah ia akan meningkatkan keyakinan rakyat; khususnya masyarakat Islam.
Firman Allah s.w.t dalam surah as- Syu’araa’ ayat 215-217:
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: